Tuesday, March 6, 2012

Isu Kedah - Anggota JEMAAH PEMANDU akan dilantik pada 12 Mac

Isu Kedah - Anggota JEMAAH PEMANDU akan dilantik pada 12 Mac

Tiada j'kuasa boleh atasi exco, kata Mustafa
PAS menafikan penubuhan jawatankuasa pemandu bagi menasihati hal ehwal pentadbiran Kedah bertujuan mengambil alih atau campur tangan kuasa Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, kuasa tertinggi sesebuah negeri datang dari majlis mesyuarat kerajaan atau exco yang dipengerusikan menteri besar, seperti peranan kabinet di peringkat persekutuan.

NONE"Tiada jawatankuasa apa pun yang boleh mengatasi kuasa exco dan kabinet.

"Oleh itu, penubuhan jawatankuasa pemandu ini tiada kaitan untuk ambil alih kuasa menteri besar dan sememangnya tiada kuasa untuk campur tangan pentadbiran negeri," katanya.

Beberapa media arus perdana hari ini dalam laporannya mengandaikan jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan akan mengehadkan kuasa menteri besar dan menjadikan Azizan mentadbir tanpa kuasa mutlak.

Utusan Malaysia melaporkan, langkah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Kedah itu menyaksikan menteri besar kehilangan sebahagian kuasa apabila pihak luar boleh campur tangan dalam membuat keputusan melalui jawatankuasa itu.

Manakala Berita Harian pula melaporkan jawatankuasa pemandu bertanggungjawab memantau menteri besar mentadbir dan menguruskan negeri, sekali gus mengehadkan kuasanya.

Anggota dilantik pada 12 Mac

Dalam kenyataannya hari ini, Mustafa menjelaskan jawatankuasa itu hanya bersifat sebagai penasihat dalam hal yang memerlukan pandangan berhubung perancangan dan program yang dibuat.

"Jawatankuasa pemandu ini juga bukan khusus untuk menasihati individu tertentu dalam pentadbirannya tetapi kepada semua yang memerlukan pandangan pimpinan parti," katanya.

NONEMustafa juga menjelaskan pembentukan jawatankuasa itu bukan baru kerana ia dimulakan sejak 1990 apabila PAS menang semula di Kelantan dan beliau sendiri menganggotainya.

Bagaimanapun, katanya ia tidak diteruskan selepas 2008 kerana "keadaan sudah stabil".

"Kini kita hidupkan kembali apabila ia ada keperluan untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada pimpinan kerajaan negeri.

"Oleh itu tidak seharusnya berbangkit tafsiran salah tentang fungsi jawatankuasa pemandu ini dan kita harap semua pihak memahami soal ini," katanya.

Justeru, Mustafa berkata, beliau kesal dengan laporan beberapa media hari ini yang yang didakwa tidak faham atau sengaja memutarbelitkan fakta berkaitan fungsi jawatankuasa itu.

Veteran PAS itu juga mendedahkan, pelantikan anggota jawatankuasa pemandu itu akan membuat pelantikan anggotanya pada 12 Mac ini.

No comments:

Post a Comment