Tuesday, March 6, 2012

Isu di Kedah : Antara ‘mempertahankan kebenaran’ dan ‘mempertahankan kemenangan’

Isu di Kedah : Antara ‘mempertahankan kebenaran’ dan ‘mempertahankan kemenangan’

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Macamlah besar sangat konflik yang berlaku di Kedah sehingga memaksa seluruh media di tanahair ditumpukan terhadap ‘perang saudara’ yang kononnya melanda kepimpinan PAS Kedah. Ramai yang bertanya dengan cemas, apa sebenarnya yang sudah berlaku? Soalan yang paling popular pula ialah, dengan konflik ini masih mampukah PAS pertahankan Kedah?

Jawapannya ialah, insyaAllah PAS dan Pakatan Rakyat masih mampu pertahankan Kedah. Pertama kerana kekuatan akar umbi tidak terjejas sebab mereka tidak terbabit apa-apa. Dalam PAS belum wujud rantaian kroni dari atas hingga ke akar umbi seperti yang berlaku dalam Umno.

Kedua, kerana kajian dan analisa yang dibuat menunjukkan bahawa PR masih mampu mempertahankan Kedah sekurang-kurang 20 kerusi sangat selamat.

Ketiga, kerana yang terbabit hanya dua anggota Exco yang enggan dilantik semula kerana tidak bersetuju dalam beberapa perkara dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Mereka ialah Dato’ Phahrolrazi Zawawi dan Dr. Ismail Salleh. Dalam sejarah organisasi dunia konflik antara pemimpin nombor satu dan dua adalah lumrah. Ayatollah Montazeri yang dulunya dianggap pengganti Ayatollah Khomeini pun lenyap karier politiknya gara-gara berkonflik dengan pemimpin nombor satu. Tun Dr. Mahathir mempunyai sejarah konflik besar dengan dua timbalannya, Tan Sri Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Istimewanya dalam jamaah Islam seperti PAS, bila akhirnya kepimpinan Pusat membuat keputusan maka ia akan dipatuhi oleh semua pihak. Jika ada pihak yang enggan terima keputusan dia kena beruzlah bagi mengelak mudharat lebih besar terhadap jamaah. Jika dia terus menyanggah, maka tindakan tataterbib boleh diambil. Itu kaedah dalam jamaah. Yusof Qardhawi pun pernah dipecat dari Ikhwanul Muslimun.
Konflik yang berlaku dalam PAS Kedah bukan melibatkan kumpulan. Tidak ada kem Ustaz Azizan atau kem Phahrolrazi. Jika wujud pun ‘kumpulan’ cuma dalam bentuk pemikiran atau sikap. Sebahagian besarnya bersetuju bahawa jika jawatan Menteri Besar perlu diganti pun, maka ia bukan sekarang, sewaktu semua pihak akan menghadapi pilihanraya umum. Hanya segelintir yang berbeza dari pandangan majoriti itu. Cuma biasalah... kumpulan yang segelintir pun boleh nampakkan diri besar dengan pelbagai strategi. Ibrahim Ali dan Perkasa sangat berjaya dalam menunjukkan kekuatan ‘besar’ dengan menggunakan tenaga kecil. Jadi umumnya, konflik ini akan lenyap begitu sahaja apabila kumpulan yang segelintir itu insof bahawa tindakan yang keterlaluan hanya akan memberi mudarat kepada jamaah Islam.

Dari aspek positif, penggembelengan media BN bagi menggambarkan bahawa Ustaz Azizan mahu dijatuhkan rupanya mengundang sokongan yang kuat dari pelbagai pihak. Ramai kalangan rakyat yang bukan ahli PAS yang bersimpati dengan beliau. Manakala majoriti ahli PAS pula marah kepada pihak segelintir itu yang dianggap sengaja membuat onar, gopoh dan tidak sabar.

Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Menurunkan seseorang pemimpin sekiranya mempunyai alasan syarie yang kuat sekalipun mestilah dibuat dengan kaedah yang syarie juga. Guna saluran ikut hairaki jamaah dan patuhi apa-apa keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi.

Saya tidak mahu merujuk ulasan ini dengan isu yang berlaku di Kedah. Tiada kena mengena dengan yang hidup atau mati. Jika mempunyai persamaan maka ia adalah kebetulan semata-mata.

Andai seseorang pemimpin dianggap memudharatkan parti maka tidak ada alasan pula untuk mengizinkan berlakunya kemudharatan yang lebih besar sedangkan, kemudharatan yang lebih kecil tadi pun belum tentu dapat dielak.

Maksudnya begini, jika bertindak menurunkan seorang pemimpin yang dianggap menyeleweng yang tidak kena pada masa dan situasi itu mengakibatkan; perpecahan dan permusuhan dalam jamaah, kekuatan dalaman dan ikatan ukhwah terburai, imej jamaah di mata masyarakat umum musnah sehingga hilang wibawa, tidak dihormati serta tidak dapat menarik sokongan terhadap perjuangan Islam, memberi peluru kepada musuh untuk menyerang kita, melemahkan semangat ahli-ahli jamaah untuk bekerja serta 1001 perkara negatif lagi terhadap Islam maka sudah tentulah mudharat besar seperti ini wajib dielakkan. Impaknya sangat teruk, walhal pemimpin yang dianggap menyeleweng tadi belum tentu dapat diturunkan.

Apatah lagi serangan terhadap pemimpin yang dianggap menyeleweng tadi bukanlah berkisar pada persoalan dasar perjuangan. Ia cuma persoalan kelemahan, kesilapan dan sikap. Lebih malang kalau berkaitan dengan isu duniawi dan persoalan peribadi pula.

Ada pihak yang sangat ideal pemikirannya. Pemimpin mestilah sempurna. Jika berkuasa tapi tidak mampu laksanakan Islam, maka lebih baik dia diturunkan sekalipun akibatnya parti kalah dalam pilihanraya. Hujahnya ‘yang utama ialah pertahan kebenaran, bukan pertahan kemenangan’. Politik pilihanraya di Malaysia macam jongkang jongket. Jika PR kalah, maka yang menang ialah BN. Tiada kuasa ketiga. Maka membuka ruang untuk membenarkan PR kalah sama macam mengundi dan memenangkan BN sebuah parti rasuah, penyeleweng, kaki songlap dan sering mempersenda hukum Allah.

Jika ada yang berkata, biar BN menang asalkan pemimpin kita yang tidak sempurna tidak berkuasa, maka orang itu pengkhianat jamaah Islam. BN tidak pernah lebih baik dari orang yang paling buruk dalam PAS sekalipun.

Itu pandangan saya. Jika ada pandangan lain, silakan. Golongan kurang cerdik biasanya menjadikan pola pemikiran seseorang sebagai segmentasi dalam menentukan kumpulan. Orang berfikir begini dari kumpulan A, berfikir begitu adalah kumpulan B. Aduhh dungunya...

Saya tidak mewakili mana-mana kumpulan. Saya sama seperti Pak Long Sheikh Mohamad, Aris Awang, Zainul Asri serta lain-lain yang sangat mencintai PAS dan perjuangan Islam, sekalipun mungkin Allah mengtakdirkan cara berfikir kita tidak sama. Semoga Allah memberikan kita sebaik-baik pengajaran dari apa yang telah berlaku.

No comments:

Post a Comment